Cerpen - KEMELUT


KEMELUT

            Hampir setengah jam berlalu sia-sia.  Mindanya kosong.  Sekosong kertas putih di hadapannya.  Perkataan yang diajar berlalu tanpa meninggalkan secebis kesan.  Tiga puluh minit bagi orang lain sangat berharga tetapi Afendi masih lagi melangut, merenung kosong dan tangan kidalnya terkial-kial mencari arah di atas kertas.  Matanya sayu menyentuh kalbu Cikgu Azei.  Kenapa Afendi sering terlupa dengan apa yang diajar?  Kenapa langsung tidak boleh menerima ajarannya sedangkan hakikat belakang parang jika diasah menjadi tajam, inikan pula otak manusia tetap terikat erat dan menjadi pengangan hidup Cikgu Azei.  Apabila timbul bab Afendi, usahkan belakang parang, belakang pisau belum tentu tajam.
            Cikgu Azei menilai dirinya, apa yang kurang?  Apa yang tak kena?  Adakah aku gagal menjadi seorang pendidik atau murid ini yang lembap atau akukah yang lemah?
            Biasanya pertanyaan begitu terbiar tanpa jawapan yang pasti.  Rasa-rasanya sudah habis ikhtiar, sudah habis teknik yang dipelajari di maktab dulu, malah sudah kering idea dan teori yang dipraktikkan, ternyata murid seorang ini seperti dulu, sewaktu mula-mula cikgu Azei membuka kelas pemulihan di sekolah ini hampir dua tahun lalu.  Dua tahun bagi guru lain sudah menampakkan hasil, namun bagi Cikgu Azei usahkan buah, berbunga belum tentu lagi.
            Dua tahun Cikgu Azei mengajar murid yang lembap setelah setahun mengikuti kursus dalam perkhidmatan.  Pelbagai teknik dan kaedah terkini digunakan, namun sia-sia saja.  Timbul pelbagai maacam perasaan dalam diri Cikgu Azei.  Geram bercampur gementar menahan sakit hati dan kepedihan kerana apa yang diajar langsung tidak boleh diikuti.  Kadang-kadang otak Cikgu Azei blank.  Burn out  dan sekarang sering diserang migran.  Acap kali terkeluar dari mulutnya menyesal menjadi seorang guru, tambahan pula guru khas untuk murid-murid lembap.  Kata pensyarah dulu, “murid pemulihan adalah murid yang rendah Iqnya dan tercicir dalam pelajaran.  Mereka perlu dipulihkan.  Mereka perlu diberi pertolongan.”
            “Nampak gaya aku yang perlu dipulihkan dulu,”  bisik Cikgu Azei seorang diri.
            Cikgu Azei memandang Afendi.  Naluri seorang wanita timbul belas kasihan kepada murid seorang ini walaupun umurnya menjangkau sebelas tahun tetapi pemikirannya rendah seperti murid yang tidak kenal langsung pelajaran.  Tiada peningkatan langsung, huruf dan abjad masih tidak dikenali.  Usahkan membaca ayat, mengeja perkataan pun belum tentu boleh.  Inilah yang membengangkan Cikgu Azei.
            Cikgu Azei mundar-mandir di dalam kelas pemulihan.  Sedih melihat keadaan kelas sekeliling sempit seperti stor.  Merimaskan.  Bukan Cikgu Azei memohon kelas yang lebih besar dan selesa, tetapi kekurangan bilik darjah menyebabkan Cikgu Azei akur dan berikhtiar apa yang termampu.
            Cikgu Azei mengambil kad huruf berwarna dan berikan kepada Afendi. Afendi Cuma nmemandang Cikgu Azei persis tidak pernah melihat manusi.  Tangannya berat untuk menerima kad.  Mata bertentangan.  Tercuit Cikgu Azei dengan gelagat Afendi.
            “Ternyata dia seorang murid yang degil dan bermasalah,” katanya dalam hati.
            “Ambil kad ni, lihat.  Cantik, kan?”
Afendi mencebikkan bibir sambil menggeleng.
            “kenapa? Fendi sakit?”
            Afendi masih membisu.  Hingusan yang keluar dari hidung dibiarkan saja.  Ingin termuntah Cikgu Azei melihatnya.
“Afendi............ambil tisu.  Lap hingus tu.”
            Tetapi Afendi pantas menyapunya dengan lengan.  Berceloreng melekat di lengan seperti gam.  Serta merta Cikgu Azei mengesatnya dengan tisu tanpa menghiraukan kegeliannya.  Timbul juga geram dengan tindak-tanduk Afendi, namun disabarkan saja.
            Pagi selasa keesokannya,  Cikgu Azei segaja tidak mengajar Afendi, dibiarkan saja bersama rakannya di dalam kelas.  Dia mahu mengajar Fatihah, Khairil, Suzana dan Razali.  Mereka juga anak watan Kampung Bertam yang tercicir dalam pelajaran dan perlu diberi pemulihan.  Dalam keasyikan mengajarn suzana mengeja, Afendi datang.  Wajahnya mencuka marah.  Tenungnya  Cikgu Azei seolah-olah guru itu berdosa besar dengannya.  
            “Fendi, kenapa?” tanya cikgu Azei kerana sepatutnya dia berada di dalam kelas bersama guru dan rakan-rakannya.  Tanpa arahan dia masuk dalam kelas pemulihan dan berlegar-legar.  Matanya mencari arah dengan tangan terpacak di pinggang.  Murid-murid lain kehairanan dan timbul kegerunan melihat tingkah laku Afendi.  Dia masih berlegar-legar dan matanya terarah ke Cikgu Azei dengan merenung tajam kebencian.  Tangan kirinya memegang pencil 2B yang Cikgu Azei hadiahkan.  Bajunya tidak berbutang penuh. Berceloreng pula dengan tompok hitam yang tak luntur.
            “Kenapa ni? Kan Fendi sepatutnya berada di dalam bilik darjah.  Kenapa ke sini?  Lembut suara Cikgu Azei memecah kegusaran.
            Afendi diam.  Dia berhenti berpusing, matanya dalam menyorot Cikgu Azei.  Mulutnya terkumat-kamit tanpa suara yang jelas.
            “Fendi masuk dulu,  biar Cikgu mengajar kelas ni.  Kemudian bolehlah cikgu ajar Fendi pula,” pujuk Cikgun Azei lembut.
            Afendi masih tidak berganjak.
            “Fendi.......kalau kau tak nak masuk kelas, duduk di atas kerusi tu, jangan ganggu murid-murid lain,”  kata Cikgu Azei sambil memegang tangan Afendi.  Di luar sedar Cikgu Azei, Afendi melontarkan pencilnya ke dinding terpelenting mengenai Razali.
“Kenapa ni?!!!!”  Agak keras suara Cikgu Azei terkejut dengan tindakan mendadak Afendi.  Nampaknya kemarahan Afendi tidak reda dengan pertanyaan Cikgu Azei malah dia bertindak mengambil buku Khairil lalu dikoyak dan dilontar ke muka Cikgu Azei.  Timbul kegeraman Cikgu Azei lalu disambar baki buku daripada tangan Afendi menyebabkan dia mendengus marah menepuk meja.  Kelas jadi kelam kabut.  Cikgu Azei cuba meleraikan dengan memegang tangan Afendi.  Tetapi ditepis.  Tanpa teragak-agak Cikgu Azei memeluk tubuh Afendi yang meronta-ronta tanpa butiran yang tidak jelas.  Cikgu Azei cuba meredakan gelojak jiwa Afendi dengan membelai dan memeluk seperti apa yang dipelajari, namun Afendi bertindak menggigit tanganya.  Kesakitan menyebabkan Cikgu Azei spontan menolak Afendi.  Dengan tidak sengaja kepala Afendi terhantuk ke dinding menyebabkan darah tumpah.  Cikgu Azei panik seketika.
            “Apa yang telah kulakukan?”  Pertanyaan itu memenuhi minda Cikgu Azei seiring geraknya menghampiri Afendi. Afendi mula meraung kesakitan.  Dilihatnya ada kesan luka di ubun kepala Afendi.  Cikgu Azei memeluk Afendi dan cuba mengesat darah yang mengalir, tetapi Afendi meronta-ronta.  Kakinya menendang meja, tangannya terkapai-kapai.  Kebisingan jeritan Afendi menyebabkan guru lain datang menjenguk, cuba meleraikan tetapi tidak bnerjaya.  Cikgu Azei masih lagi cuba mengelap darah dengan sapu tangannya sedangkan Afendi meronta.
            Melihat keadaan itu, cikgu Ishak bertindak menjirus sebaldi air ke wajah Afendi menyebabkan tempiasnya mengena Cikgu Azei.  Seperti kena arus elektrik, Afendi letih kelesuan.
            “Apa yang belaku?  Kenapa dengan kepala Afendi?” tanya cikgu Ishak sambil tangan membelek kepala Afendi.
            “Luka ni teruk. Biar saya bawa ke klinik.”
            Cikgu Azei cuma mampu mengangguk.  Dibiarkan saja cikgu Ishak melakukan sewajarnya.
            Cikgu Azei membisu.  Seperti kejutan budaya dengan apa yang berlaku.  Terbakar hatinya.  Penyesalan dan kebimbangan mula menyelinap masuk, namun apa yang Cikgu Azei ingat dia tak sengaja.  Kesan kebiruan gigitan Afendi tidak dapat mengubat kegelisahannya.
            Kebimbangan Cikgu Azei terbukti sudah apabila menatap akhbar terpampang tajuk seorang guru wanita menghantuk kepala murid ke Dinding. Terasa mahu pengsan Cikgu Azei membaca laporan itu yang tidak meminta penjelasannya.  Malah menyalahkan Cikgu Azei semata-mata bertindak melulu menghukum murid.  Dia kesal dengan apa yang berlaku.  Paling dikesali pihak akhbar mengambil kenyataan sebelah pihak saja.
            Ke mana-mana cikgu Azei pergi, orang akan memperkatakannya, malah ada ibubapa yang meludahnya bila bertembung di jalanan.  Setiap mata memandangnya penuh kebencian dan mengumpatnya dengan kejian dan nista.  Ayah Afendi membuat laporan polis mengusarkan cikgu Azei.  Paling Cikgu Azei kesal pihak keluarga Afendi langsung tidak datang menemuinya meminta penjelasan sebenar.  Bagi mereka cikgu Azei musuh yang perlu ditentang.  Dalam keadaan begini mujur guru besar tidak mengambil tindakan melulu dan berpuas hati dengan penjelasan dan bukti yang ditunjukkan.
            Hampir dua bulan perkar itu berlaku.  Dua bulan jugalah Afendi tidak hadir ke sekolah.  Cikgu Azei gelisah.  Pertanyaanb demi pertanyaan singgah dimindanya.
            Akhirnya kebimbangan dan kegelisan cikgu Azei terubat jua selepas ibu afendi datang ke sekolah.  Itu pun setelah dipesan beberapa kali.
            “Maafkan kami sekeluarga kerana mengambil tindakan mengikut perasaan marah,” kata ibu Afendi.
            “Ah, lupakan perkara tu, semua dah selesai.  Tapi......kenapa Afendi tak hadir, sakit ke?”
            Ibu Afendi tunduk merenungmeja, kesedihan jelas terbayang di wajahnya.
            “Kenapa? Apa yang berlaku?”  tanya Cikgu Azei minta kepastian.
            “Kenapa Cikgu terlalu baik dan mengambil berat soal anak kakak.  Kakak malu dengan apa yang berlaku.”
            “Sudah la kak, perkara lepas biarkan berlalu.  Yang penting Afendi mesti diberi pelajaran,” tegas Cikgu Azei.
            “Entah....!”  keluhnya.
            “Kak datang ni pun dipaksa oleh Ayahnya.”  Tersekat suaranya.
            “Kenapa kak?”  tanyanya.  Pertanyaan singgah bertubi-tubi dalam minda Cikgu Azei.  Dia pasti mesti ada perkara yang tidak beres.
            “Ayahnya nak berhentikan Afendi, katanya sekolah pun tak berguna.”
            “Apa!  Nak berhentikan Afendi?  Kenapa?”  terkejut Cikgu Azei mendengarnya.  Bagaikan dentuman guruh di siang hati.  Bukan itu jangkaannya.
            “Afendi tu lain daripada anak kak yang lain.  Jadi tak guna kami hantar  ke sekolah.”
            “Kak....jangan ambil tindakan begitu,”  pujuk Cikgu Azei.
            Diam.
            “Adakah kak masih lagi menyalahkan saya?”
            Diam.
            “Saya minta maaf kak, saya tak sengaja,”  Sayu suara Cikgu Azei.
Ibu Afendi masih lagi membisu.
“Adakah kak masih lagi mengambil kejadian itu sebagai penyebab.”  Tanya Cikgu Azei dengan suara merayu.
Masih lagi diam membisu.
Melihat tindakan ibu Afendi yang diam membisu, Cikgu Azei kehilangan kata-kata.
“kak....” rayunya.
“Saya benar-benar minta maaf, menyesal dengan ketidak sengajaan,  tambahan pula perkara itu telah diselesaikan.” 
“Di mana nak letak muka ni, malu.  Lagipun Afendi bukannya seperti budak lain.  Anginnya tidak menentu.  Kadang-kadang tu seperti dirasuk.”  Lancar suaranya memecah kebisuan sekelian lama.
“Ye la.... saya pun perasan juga, keadaan fizikalnya baik, agaknya mentalnya yang lemah.”  Sampuk Cikgu Azei.
“Apa maksud cikgu?”
“Cuba kak bawa dia jumpa doktor pakar.”  Saran Cikgu Azei.
“Cikgu jangan cuba mengeruhkan keadaan.  Anak saya tidak  sakait, anak saya tidak gila.  Anak saya........”
“Bukan begitu kak..”  pintas Cikgu Azei. “Maksud saya ada gangguan dalam otaknya.  Kakak perlu mendapat pengesahan doktor,  kemudian antar ke sekolah khas.  Mungkin disana dia lebih berjaya dibandingkan dengan kelas biasa.”
“Maaf!  Kakak tak terfikir ke arah itu dan kakak tak mahu berpisah dengannya.  Biarkan Afendi tinggal di rumah.”  Tegasnya.
“Jangan gitu kak,  pendidikan adalah penting untuk masa depan anak.”
“Memang kak tau, malah kakak tak mahu Afendi mengikut langkah kakak yang tak berpelajaran, tapi apakan daya......kedaifan, kemiskinan menjadi penghalang .”
“Kak... sekarang ni banyak bantuan yang kerajaan salurkan.....”
“Sudahla cikgu, biarkan Afendi tinggal di rumah jaga itik ayam.  Apa-apa hal tanggungjawab kami sekeluarga,”  katanya sambil bangun meninggalkan Cikgu Azei terkulat-kulat sendirian.  Tidak berpeluang cikgu Azei menerangkan dengan lebih lanjut membuat kesayuan berbekas di tangkai hatinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan